My list

October 19, 2015

Batu - Satu

Bagiku waktu dan masa sudah lama berhenti berdetik. Tiada makna lagi dan tiada keperluan untukku mengikuti ruang waktu yang pergi meninggalkan aku tanpa henti, dan tanpa mengendahkan diriku. Entah sudah berapa lama, aku sudah berhenti melakar coretan di dinding sebagai panduan diriku. Terkadang, kurasakan yang waktu bergerak perlahan, terkadang pula seakan-akan berhenti untuk selamanya. Kurenungi, tiada bezanya, sementelah, aku akan terus berada di sini. Hari semakin sejuk kurasakan, tattala titisan hujan mula turun membasahi dinding luar, sekali sekala, angin bertiup kencang, membawa arah hujan yang turun memukul perlahan ke arah dinding ruang kecilku ini. Kesunyian malam kini telah pun dikhianati.

Aku bangun dari lantai keras simenku, perlahan-lahan aku berjalan, dari tapak kaki ke tapak kaki, kurapatkan tapak kaki kanan ke hadapan kaki kiriku, lantas ku ulang dengan kaki kiriku. Satu demi satu. Aku berjalan ke segenap pelusuk ruangan kecil ini. Hanya 36 langkah yang diperlukan untuk aku habis mengelilingi kamar ini. 9 langkah lebar. 9 langkah panjang. Aku kemudian tersandar di dinding. Dapat kurasakan beberapa lakaran-lakaran kasar yang telahpun terukir di sini untuk sekian lamanya. Aku tidak perlukan bantuan cahaya atau melihat ia. telah ku tahu apa yang terukir di dinding tempat ku bersandar. Ku dongak sedikit ke atas, memandang ke hadapanku. Dalam kesamaran malam, sebuah segi empat tepat kecil, lebih kurang 3 jengkal lebar dan 3 jengkal tinggi, menghiasi ruangan ini. Dahulu, tersergam indah 4 jeriji besi tulen yang mendepangi segi empat kecil itu. Namun, itu dahulu. Sekarang, ruangan itu telahpun digantikan dengan konkrit teguh. Ia hanya sebuah memori. 

Di sebelah kanan pula, tersedia sebuah lubang tandas. Bau yang kurang enak sering kali keluar dari lubang kecil itu. Bau busuk, hancing, tidak putus-putus terhasil, namun, aku sudahpun belajar untuk tidak mengendahkan semua itu. Di satu sudut yang lain pula, tersedia sebiji koleh plastik berwarna biru, mungkin cukup untuk menampung lebih kurang 1 liter air. Sehelai baju kapas putih berlengan pendek warna oren terang, dan sehelai seluar panjang putih, bersama sehelai seluar dalam putih tipis, ala-ala boxer bentuknya. Hanya itu semua yang aku miliki di saat ini, selain empat dinding konkrit kukuh yang menjadi penemanku untuk sekian lamanya. Di dinding ini juga tersemat kukuh 2 gegelung besi setebal satu inci, yang mana akarnya di tanam jauh kedalam dinding, hampir 5 kaki dari lantai. Tiada apa lagi. Tiada sebarang kemewahan. Itu semua hanyalah angan-angan. Tiada katil. Tiada tilam. Tiada bantal mahupun selimut. Tiada apa. Hanya satu garis putih di lantai menghadap ke pintu besi bilik.

Aku yang hanya berbogel di setiap masa di dalam ruangan ini, mengambil koleh plastik yang masih berbaki sedikit air sebelum bergerak ke lubang kecil tersebut. Lantas, aku duduk mengcangkung di atas lubang itu, dan membiarkan badanku bergerak dengan sendirinya. Perlahan-lahan, najis keluar dari duburku. Aku membetulkan posisiku pabila najis yang keluar tidak terus masuk menuju ke lubang tersebut. Hampir beberapa minit kemudian, aku selesai dan air yang berbaki di dalam koleh ku gunakan untuk mencuci dubur dan menjirus air ke lubang tersebut. 

Aaahhhh, agak sejuk cuaca waktu ini. Hujan masih lagi membasahi bumi. Mungkin, musim hujan telah pun tiba agaknya. Badanku ku rendahkan ke lantai, dengan kedua tanganku di depangkan di kiri dan kanan badanku. Kakiku ku rapatkan, lantas dalam kiraan 3, aku turun merapati badanku ke lantai, dan ku bangkit semula. 1. 2. 3. 4. 5... cukup 20 kali. Setelah itu, aku berbaring di belakangku, dan kedua tanganku ku silangkan ke dada, bahagian atas badanku ku bangunkan lebih kurang 65 darjah, dan aku berhenti seketika. 101, 102, 103, 104, 105, 106, 107, 108. Hatiku berdetik, sebelum melengkapkan 90 darjah dan kembali berbaring. Ku ulangi untuk 20 kali, sebelum aku berehat untuk beberapa detik. 4 lagi set ku ulang selepas itu dengan di selang selikan dengan rehat seketika. 

Kesunyian hari tiba-tiba hilang pabila kedengaran beberapa ketukan keras. "Bangun bangun!" Satu suara keras tiba-tiba bergema. "Berdiri di tempat masing-masing!" Jerit suara itu lagi. 

"Sudah pagi rupanya", detik hatiku. Aku bingkas bangun dan mengambil tempatku. Garisan putih di lantai menandai di mana aku harus berdiri. Seketika kemudian, kedengaran bunyi selak dari pintu bilikku. Satu tingkap kecil muncul, di paras lebih kurang mukaku. 

"Nombor badan." Sekali lagi suara itu kedengaran. 

"304021771, Tuan." Balasku

Kemudian tingkap kecil di pintu itu ditutup kembali, Aku lantas kembali berbaring, di lantai keras, dengan baju dan seluarku ku gulung kujadikan bantal kecil, sebagai alas kepalaku. Mata kututup seketika, tangan kiriku kurehatkan di dahi. Aku bersiul kecil sendirian. Bunyi siulanku memantul kembali, bergema memenuhi ruangan kecil ini. 

*     *     *

"Johan, jooohannnn. Aku dataangggg. hehehehehehehehe. Johan nak lari? Awwwwww, kau nak main kejar-kejar yek. Hahahahaha. johan, joohannnn. Hahahahahahahaha."

Aku dapat melihat kelibat dia di hujung mataku. Dia yang berbogel, kulihat berlari dariku. Perlahan-lahan aku mengekori dia. "Kau pergi mana tu? Aku dekat sini ni. Hahahaha. Jangan lah lari jauh-jauh."

"Apa yang kau nak buat dekat aku?" tanya dia. Suara ketakutan mengkhianati dirinya. 

"Ala, kita kan nak main kejar-kejar sahaja. Herm. Shhhhhh!" kataku sambil jari telunjuk kiriku di bibir. 

"Shhhh, senyap. Nanti aku akan tahu kau dekat mana. Tak seronok lah." Aku berjalan merapati ruangan dapur. Langkahku terhenti sejurus sebelum memasuki dapur. Perlahan-lahan aku bersandar di dinding. 

"Johan. Joohannnn. Aku datang." kataku lantas terus menjengah masuk kedalam dapur. Johan tidak kelihatan. 

"Hehehehe. Pandai kau sorok Johan. Kau dekat mana?" Aku menuju ke tengah dapur. Kelihatan sebuah kaunter marmar tersedia di tengah dapur itu. Selangkah demi selangkah, aku merapati. Tangan kiriku mencapai kaunter tersebut, terasa sejuk di hujung jari jemariku di saat menyentuh permukaan kaunter itu. 

*     *     *

"Tang, tang, tang!" Pintu besi bilikku di hentak sedikit keras dengan tiba-tiba. "Batu, sarapan."

Aku bangun, lalu koleh plastik ku capai dan seketika kemudian, satu lagi tingkap kecil dibahagian bawah pintu kemudian dibuka. Aku menghulurkan koleh tersebut melalui lubang tersebut. Kedengaran bunyi air mula memenuhi koleh. Setelah mengambil kembali koleh yang telah diisi itu, satu penyodok besi pula muncul dari lubang tersebut, bersama 2 ketul roti. Ku lihat, di dalam koleh itu hampir penuh dengan air milo cair. Perlahan-lahan roti yang diberikan ku carik kasar, lalu kucelup kedalam air sebelum masuk ke mulut. Roti yang sedikit lembut itu ku kunyah lama, dan ku selang selikan dengan air sebelum menelanya. Manis, kemanisan itu menjengah ke seluruh pelusuk ruangan mulut sebelum hilang begitu sahaja di mamah masa.

Kadang-kala, aku mahukan kemanisan yang pernah aku rasai suatu ketika dahulu. Kemanisan yang telah lama hilang dari genggaman tanganku. Kemanisan yang tidak akan lagi dapat ku rasai untuk selamanya. Sungguhpun demikian, aku sudah puas, keinginan itu tidak beraja lagi di di dalam benak fikiranku. Kemanisan dan kepuasan yang ku cari sebelum ini telah aku penuhi, dan sekarang, aku tidak lagi memerlukan ia. Cuma, sekali sekala, hatiku terdetik, tattala fikiranku melayang, disaat aku mencuba untuk mengingati kemanisan itu.

“Aaargh….” Keluhku lembut.

Setiap kali aku terkenangkan Johan, aku akan selalu terkenangkan senyuman dia. Senyuman yang lebar, dengan bibir yang merah kehitaman dek kerana dirinya seorang perokok tegar. Kali pertama memori aku memandang dia, dia melihat tepat kedalam mataku. Senyuman itu tidak putus-putus kelihatan. Aku merasa tenang sekali, sungguh pun di waktu itu aku tidak dapat mengerti mengapa. Raut wajahnya agak bersegi, menampakan tulang rahangnya yang jelas, dan mata yang tidaklah begitu besar, namun, sedap di pandang.

Setiap perincian wajahnya dapat ku ingati dengan begitu teliti. Seperti anak kecil, tanganku melewati setiap inci wajahnya, perlahan-lahan dahinya ku sentuh, kelihatan, dia mengerutkan dahinya sedikit dan dia tertawa kecil. Dia memegang lembut wajahku, tangan kananya mendongakan daguku, supaya dia dapat melihat diriku dengan lebih jelas.

*     *     *

“Betapa aku rindukan sentuhan manja darinya.” Bisikku sendirian. 

Sentuhan yang acap kali hadir dan memenuhi kepuasan diri ini. Sentuhan yang penuh dengan kelembutan dan kehangatan. Namun kadang-kadang, sentuhan itu juga penuh dengan kebencian dan kekasaran.

Kemudian tangan gagahnya itu perlahan-lahan bergerak turun. Aku dapat merasakan helaian bulu lembut, bulu yang nipis membaluti tanganya itu, menari-nari di saat itu. Betapa aku bergetar, pabila di perlakukan sedemikian.

Lantas kemudian, tanganya berhenti. Bahagian belakang jarinya perlahan menuruti leherku, sebelum dengan kemas, dan dengan penuh berhati-hati, ia mula menjalar ke sekeliling leher kecilku itu, sehingga telapak tanganya kini memenuhi permukaan, dan leherku hilang dari pandangan. Sedikit demi sedikit, tanganya mula menyempit. Aku merengek perlahan, cuba untuk mengatakan yang aku berasa tidak selesa. Matanya yang bersinar lembut itu masih lagi memandang kedalam pandanganku. Tidak sekalipun ia berkelip, mahupun beralih arah, walaupun untuk seketika. Rengekanku menjadi semakin nyaring. Namun, tangan itu masih lagi tidak berhenti. Dapat kurasakan yang tangan itu dengan bersahaja dan tanpa sebarang usaha meneruskan perlakuanya.

Namun tiba-tiba ia berhenti. Tangan itu yang masih lagi di leherku tidak berganjak walau seinci, namun, tiada lagi walau secebis kekuatan yang kurasakan.

“Mungkin waktunya belum tiba. Mungkin kau akan berguna untukku satu masa nanti.” Katanya perlahan, sebelum aku kembali di letakkan di bawah dan terus dia berlalu pergi.

*     *     *

Kegelapan dunia kecilku telah beberapa ketika hilang meninggalkan diriku. Kedinginan hari yang sedari membaluti seluruh inci tubuhku ini beransur-ansur hilang. Mataku yang masih lagi terpejam, membuatkan deria ku yang lain menjadi lebih fokus. Tiada lagi rintik-rintik perlahan yang kedengaran dari luar. Hujan sudah pun berhenti memberikan laluan kepada sinaran matahari yang memancar. Perlahan, mataku ku buka, dan ruangan kecil ini sedikit terang dari yang sepatutnya. Kegelapan yang selama ini tidak pernah gagal untuk hadir di kemudian hari telah lari bersembunyi. Di dinding, kelihatan satu garisan cahaya nipis.

Cahaya itu merupakan antara peneman setia untukku sejak aku mula menghuni ruangan ini. Pada mulanya, ia seakan-akan mengingatkan aku akan pergerakan masa di luar sana. Ia tidak pernah jemu untuk berbisik kepadaku. Bisikan yang senantiasa kedengaran di dalam kamar parietal, menyatakan yang dia disini. Menyatakan yang dia disebelahku.

Senantiasa, pabila hari berganti hari, aku menantikan kehadiran teman ku ini. Dia yang dimaksudkan, tidak hanya berdiri di sudut itu. Di sudutnya. Tidak walau sedikitpun ia berganjak. Dia hanya berdiri di situ, memandang tepat ke dalam mataku. Kadang-kala, kelihatan seolah-olah dia tersenyum sendirian. Namun, mungkin itu hanya mainan fikiranku. Dia tidak berkata-kata walau sepatah. Namun, aku tahu. Aku mengerti. Aku fahami. Apa yang bermain di benak fikiranya itu.

Susuk tubuh itu amat ku kenali. Dia yang hampir sama ketinggian denganku, rambut hitam lebat dan tersisir rapi ke hadapan hampir 30 darjah, sebelum terjungkit di hadapan. Di satu dua tempat, terlihat kelibat rambut putih. Jambang nipis seakan-akan baru dibiarkan tumbuh beberapa hari, memenuhi dari bahagian pipi kiri ke kanan. Matanya seperti biasa, memberikan pandangan yang tidak bermaya. Di waktu ini dia tidak tersenyum, dan tidak juga sebaliknya. Tiada apa yang kurasakan darinya. Helaan nafas panjang dan dalam memecah kesunyian dan menyatakan dia ada di situ. Tetap di situ. Dan akan kekal di situ sehingga aku pergi bersama-samanya.


Kelibat itu hilang pabila aku membuka mataku. Helaan nafasnya juga turut terhenti, kamar ini kembali sunyi sepi. Aku melihat ke sekeliling. Tiada apa yang berubah.

1 comment:

  1. it's glad seeing your new updates..hope you're doing just fine eaj ;)

    ReplyDelete