Bagiku waktu dan masa
sudah lama berhenti berdetik. Tiada makna lagi dan tiada keperluan untukku
mengikuti ruang waktu yang pergi meninggalkan aku tanpa henti, dan tanpa
mengendahkan diriku. Entah sudah berapa lama, aku sudah berhenti melakar
coretan di dinding sebagai panduan diriku. Terkadang, kurasakan yang waktu
bergerak perlahan, terkadang pula seakan-akan berhenti untuk selamanya.
Kurenungi, tiada bezanya, sementelah, aku akan terus berada di sini. Hari
semakin sejuk kurasakan, tattala titisan hujan mula turun membasahi dinding
luar, sekali sekala, angin bertiup kencang, membawa arah hujan yang turun
memukul perlahan ke arah dinding ruang kecilku ini. Kesunyian malam kini telah
pun dikhianati.
Aku bangun dari
lantai keras simenku, perlahan-lahan aku berjalan, dari tapak kaki ke tapak
kaki, kurapatkan tapak kaki kanan ke hadapan kaki kiriku, lantas ku ulang
dengan kaki kiriku. Satu demi satu. Aku berjalan ke segenap pelusuk ruangan
kecil ini. Hanya 36 langkah yang diperlukan untuk aku habis mengelilingi kamar
ini. 9 langkah lebar. 9 langkah panjang. Aku kemudian tersandar di dinding.
Dapat kurasakan beberapa lakaran-lakaran kasar yang telahpun terukir di sini
untuk sekian lamanya. Aku tidak perlukan bantuan cahaya atau melihat ia. telah
ku tahu apa yang terukir di dinding tempat ku bersandar. Ku dongak sedikit ke
atas, memandang ke hadapanku. Dalam kesamaran malam, sebuah segi empat tepat
kecil, lebih kurang 3 jengkal lebar dan 3 jengkal tinggi, menghiasi ruangan
ini. Dahulu, tersergam indah 4 jeriji besi tulen yang mendepangi segi empat
kecil itu. Namun, itu dahulu. Sekarang, ruangan itu telahpun digantikan dengan
konkrit teguh. Ia hanya sebuah memori.
Di sebelah kanan
pula, tersedia sebuah lubang tandas. Bau yang kurang enak sering kali keluar
dari lubang kecil itu. Bau busuk, hancing, tidak putus-putus terhasil, namun,
aku sudahpun belajar untuk tidak mengendahkan semua itu. Di satu sudut yang
lain pula, tersedia sebiji koleh plastik berwarna biru, mungkin cukup untuk
menampung lebih kurang 1 liter air. Sehelai baju kapas putih berlengan pendek
warna oren terang, dan sehelai seluar panjang putih, bersama sehelai seluar
dalam putih tipis, ala-ala boxer bentuknya. Hanya itu semua yang aku miliki di
saat ini, selain empat dinding konkrit kukuh yang menjadi penemanku untuk
sekian lamanya. Di dinding ini juga tersemat kukuh 2 gegelung besi setebal satu
inci, yang mana akarnya di tanam jauh kedalam dinding, hampir 5 kaki dari
lantai. Tiada apa lagi. Tiada sebarang kemewahan. Itu semua hanyalah
angan-angan. Tiada katil. Tiada tilam. Tiada bantal mahupun selimut. Tiada apa.
Hanya satu garis putih di lantai menghadap ke pintu besi bilik.
Aku yang hanya
berbogel di setiap masa di dalam ruangan ini, mengambil koleh plastik yang
masih berbaki sedikit air sebelum bergerak ke lubang kecil tersebut. Lantas,
aku duduk mengcangkung di atas lubang itu, dan membiarkan badanku bergerak
dengan sendirinya. Perlahan-lahan, najis keluar dari duburku. Aku membetulkan
posisiku pabila najis yang keluar tidak terus masuk menuju ke lubang tersebut.
Hampir beberapa minit kemudian, aku selesai dan air yang berbaki di dalam koleh
ku gunakan untuk mencuci dubur dan menjirus air ke lubang tersebut.
Aaahhhh, agak sejuk
cuaca waktu ini. Hujan masih lagi membasahi bumi. Mungkin, musim hujan telah
pun tiba agaknya. Badanku ku rendahkan ke lantai, dengan kedua tanganku di
depangkan di kiri dan kanan badanku. Kakiku ku rapatkan, lantas dalam kiraan 3,
aku turun merapati badanku ke lantai, dan ku bangkit semula. 1. 2. 3. 4. 5...
cukup 20 kali. Setelah itu, aku berbaring di belakangku, dan kedua tanganku ku
silangkan ke dada, bahagian atas badanku ku bangunkan lebih kurang 65 darjah,
dan aku berhenti seketika. 101, 102, 103, 104, 105, 106, 107, 108. Hatiku
berdetik, sebelum melengkapkan 90 darjah dan kembali berbaring. Ku ulangi untuk
20 kali, sebelum aku berehat untuk beberapa detik. 4 lagi set ku ulang selepas
itu dengan di selang selikan dengan rehat seketika.
Kesunyian hari tiba-tiba
hilang pabila kedengaran beberapa ketukan keras. "Bangun bangun!"
Satu suara keras tiba-tiba bergema. "Berdiri di tempat
masing-masing!" Jerit suara itu lagi.
"Sudah pagi
rupanya", detik hatiku. Aku bingkas bangun dan mengambil tempatku. Garisan
putih di lantai menandai di mana aku harus berdiri. Seketika kemudian,
kedengaran bunyi selak dari pintu bilikku. Satu tingkap kecil muncul, di paras
lebih kurang mukaku.
"Nombor
badan." Sekali lagi suara itu kedengaran.
"304021771,
Tuan." Balasku
Kemudian tingkap
kecil di pintu itu ditutup kembali, Aku lantas kembali berbaring, di lantai
keras, dengan baju dan seluarku ku gulung kujadikan bantal kecil, sebagai alas
kepalaku. Mata kututup seketika, tangan kiriku kurehatkan di dahi. Aku bersiul
kecil sendirian. Bunyi siulanku memantul kembali, bergema memenuhi ruangan
kecil ini.
* *
*
"Johan,
jooohannnn. Aku dataangggg. hehehehehehehehe. Johan nak lari? Awwwwww, kau nak
main kejar-kejar yek. Hahahahaha. johan, joohannnn. Hahahahahahahaha."
Aku dapat melihat
kelibat dia di hujung mataku. Dia yang berbogel, kulihat berlari dariku.
Perlahan-lahan aku mengekori dia. "Kau pergi mana tu? Aku dekat sini ni.
Hahahaha. Jangan lah lari jauh-jauh."
"Apa yang kau
nak buat dekat aku?" tanya dia. Suara ketakutan mengkhianati
dirinya.
"Ala, kita kan
nak main kejar-kejar sahaja. Herm. Shhhhhh!" kataku sambil jari telunjuk
kiriku di bibir.
"Shhhh, senyap.
Nanti aku akan tahu kau dekat mana. Tak seronok lah." Aku berjalan
merapati ruangan dapur. Langkahku terhenti sejurus sebelum memasuki dapur.
Perlahan-lahan aku bersandar di dinding.
"Johan.
Joohannnn. Aku datang." kataku lantas terus menjengah masuk kedalam dapur.
Johan tidak kelihatan.
"Hehehehe.
Pandai kau sorok Johan. Kau dekat mana?" Aku menuju ke tengah dapur.
Kelihatan sebuah kaunter marmar tersedia di tengah dapur itu. Selangkah demi
selangkah, aku merapati. Tangan kiriku mencapai kaunter tersebut, terasa sejuk
di hujung jari jemariku di saat menyentuh permukaan kaunter itu.
* *
*
"Tang, tang,
tang!" Pintu besi bilikku di hentak sedikit keras dengan tiba-tiba.
"Batu, sarapan."
Aku bangun, lalu
koleh plastik ku capai dan seketika kemudian, satu lagi tingkap kecil
dibahagian bawah pintu kemudian dibuka. Aku menghulurkan koleh tersebut melalui
lubang tersebut. Kedengaran bunyi air mula memenuhi koleh. Setelah mengambil
kembali koleh yang telah diisi itu, satu penyodok besi pula muncul dari lubang
tersebut, bersama 2 ketul roti. Ku lihat, di dalam koleh itu hampir penuh
dengan air milo cair. Perlahan-lahan roti yang diberikan ku carik kasar,
lalu kucelup kedalam air sebelum masuk ke mulut. Roti yang sedikit lembut itu
ku kunyah lama, dan ku selang selikan dengan air sebelum menelanya. Manis,
kemanisan itu menjengah ke seluruh pelusuk ruangan mulut sebelum hilang begitu
sahaja di mamah masa.
Kadang-kala, aku
mahukan kemanisan yang pernah aku rasai suatu ketika dahulu. Kemanisan yang
telah lama hilang dari genggaman tanganku. Kemanisan yang tidak akan lagi dapat
ku rasai untuk selamanya. Sungguhpun demikian, aku sudah puas, keinginan itu
tidak beraja lagi di di dalam benak fikiranku. Kemanisan dan kepuasan yang ku
cari sebelum ini telah aku penuhi, dan sekarang, aku tidak lagi memerlukan ia.
Cuma, sekali sekala, hatiku terdetik, tattala fikiranku melayang, disaat aku
mencuba untuk mengingati kemanisan itu.
“Aaargh….” Keluhku
lembut.
Setiap kali aku
terkenangkan Johan, aku akan selalu terkenangkan senyuman dia. Senyuman yang
lebar, dengan bibir yang merah kehitaman dek kerana dirinya seorang perokok
tegar. Kali pertama memori aku memandang dia, dia melihat tepat kedalam mataku.
Senyuman itu tidak putus-putus kelihatan. Aku merasa tenang sekali, sungguh pun
di waktu itu aku tidak dapat mengerti mengapa. Raut wajahnya agak bersegi,
menampakan tulang rahangnya yang jelas, dan mata yang tidaklah begitu besar,
namun, sedap di pandang.
Setiap perincian
wajahnya dapat ku ingati dengan begitu teliti. Seperti anak kecil, tanganku
melewati setiap inci wajahnya, perlahan-lahan dahinya ku sentuh, kelihatan, dia
mengerutkan dahinya sedikit dan dia tertawa kecil. Dia memegang lembut wajahku,
tangan kananya mendongakan daguku, supaya dia dapat melihat diriku dengan lebih
jelas.
* *
*
“Betapa aku rindukan
sentuhan manja darinya.” Bisikku sendirian.
Sentuhan yang acap
kali hadir dan memenuhi kepuasan diri ini. Sentuhan yang penuh dengan
kelembutan dan kehangatan. Namun kadang-kadang, sentuhan itu juga penuh dengan
kebencian dan kekasaran.
Kemudian tangan
gagahnya itu perlahan-lahan bergerak turun. Aku dapat merasakan helaian bulu
lembut, bulu yang nipis membaluti tanganya itu, menari-nari di saat itu. Betapa
aku bergetar, pabila di perlakukan sedemikian.
Lantas kemudian,
tanganya berhenti. Bahagian belakang jarinya perlahan menuruti leherku, sebelum
dengan kemas, dan dengan penuh berhati-hati, ia mula menjalar ke sekeliling
leher kecilku itu, sehingga telapak tanganya kini memenuhi permukaan, dan
leherku hilang dari pandangan. Sedikit demi sedikit, tanganya mula menyempit.
Aku merengek perlahan, cuba untuk mengatakan yang aku berasa tidak selesa.
Matanya yang bersinar lembut itu masih lagi memandang kedalam pandanganku.
Tidak sekalipun ia berkelip, mahupun beralih arah, walaupun untuk seketika.
Rengekanku menjadi semakin nyaring. Namun, tangan itu masih lagi tidak
berhenti. Dapat kurasakan yang tangan itu dengan bersahaja dan tanpa sebarang
usaha meneruskan perlakuanya.
Namun tiba-tiba ia
berhenti. Tangan itu yang masih lagi di leherku tidak berganjak walau seinci,
namun, tiada lagi walau secebis kekuatan yang kurasakan.
“Mungkin waktunya
belum tiba. Mungkin kau akan berguna untukku satu masa nanti.” Katanya
perlahan, sebelum aku kembali di letakkan di bawah dan terus dia berlalu pergi.
* *
*
Kegelapan
dunia kecilku telah beberapa ketika hilang meninggalkan diriku. Kedinginan hari
yang sedari membaluti seluruh inci tubuhku ini beransur-ansur hilang. Mataku
yang masih lagi terpejam, membuatkan deria ku yang lain menjadi lebih fokus.
Tiada lagi rintik-rintik perlahan yang kedengaran dari luar. Hujan sudah pun
berhenti memberikan laluan kepada sinaran matahari yang memancar. Perlahan,
mataku ku buka, dan ruangan kecil ini sedikit terang dari yang sepatutnya.
Kegelapan yang selama ini tidak pernah gagal untuk hadir di kemudian hari telah
lari bersembunyi. Di dinding, kelihatan satu garisan cahaya nipis.
Cahaya
itu merupakan antara peneman setia untukku sejak aku mula menghuni ruangan ini.
Pada mulanya, ia seakan-akan mengingatkan aku akan pergerakan masa di luar
sana. Ia tidak pernah jemu untuk berbisik kepadaku. Bisikan yang senantiasa
kedengaran di dalam kamar parietal,
menyatakan yang dia disini. Menyatakan yang dia disebelahku.
Senantiasa,
pabila hari berganti hari, aku menantikan kehadiran teman ku ini. Dia yang
dimaksudkan, tidak hanya berdiri di sudut itu. Di sudutnya. Tidak walau
sedikitpun ia berganjak. Dia hanya berdiri di situ, memandang tepat ke dalam
mataku. Kadang-kala, kelihatan seolah-olah dia tersenyum sendirian. Namun,
mungkin itu hanya mainan fikiranku. Dia tidak berkata-kata walau sepatah.
Namun, aku tahu. Aku mengerti. Aku fahami. Apa yang bermain di benak fikiranya
itu.
Susuk
tubuh itu amat ku kenali. Dia yang hampir sama ketinggian denganku, rambut
hitam lebat dan tersisir rapi ke hadapan hampir 30 darjah, sebelum terjungkit
di hadapan. Di satu dua tempat, terlihat kelibat rambut putih. Jambang nipis
seakan-akan baru dibiarkan tumbuh beberapa hari, memenuhi dari bahagian pipi
kiri ke kanan. Matanya seperti biasa, memberikan pandangan yang tidak bermaya.
Di waktu ini dia tidak tersenyum, dan tidak juga sebaliknya. Tiada apa yang
kurasakan darinya. Helaan nafas panjang dan dalam memecah kesunyian dan
menyatakan dia ada di situ. Tetap di situ. Dan akan kekal di situ sehingga aku
pergi bersama-samanya.
Kelibat
itu hilang pabila aku membuka mataku. Helaan nafasnya juga turut terhenti,
kamar ini kembali sunyi sepi. Aku melihat ke sekeliling. Tiada apa yang
berubah.