My list

May 08, 2013

Dia - Tiga Puluh Lapan


T
Hari ini sudah hampir sebulan semenjak aku menerima surat itu. November 4, 2009, akhirnya aku membawa diriku ke Pusat Darah Negara setelah menelefon nombor yang tertera di dalam surat tersebut.

Mengikut surat yang diberikan, bersama-sama ku bawa buku catitan derma darah ku, aku perlahan menyusuri jalan menuju ke destinasi. Sekitar pukul 10.30 pagi aku tiba di hadapan pintu masuk, namun, entah mengapa aku hanya memberhentikan keretaku di situ. Surat tersebut lantas ku keluarkan dan ku tatap panjang. Entahlah.

Sedang aku leka di buai perasaan yang entah apa, tiba-tiba tingkap keretaku di ketuk. Kelihatan seorang pakcik guard berdiri di luar kereta. Tingkap ku turunkan dan senyuman yang kurasakan tidak bernyawa terhulur.

“Mintak maaf dik, kat sini tak boleh parking. Orang nak lalu lalang.”

“Owh, maaf pakcik.” Balasku pendek.

Lantas kemudian aku kembali memandu kereta, namun aku tidak masuk ke kawasan Pusat Darah Negara tersebut. Aku kembali masuk ke jalan besar, menuju ke Medan Selera Jalan Raja Muda Abdul Aziz, yang terletak bersebelahan dengan kuarters HKL.

Segelas teh ais ku order sebelum duduk di meja di situ. Lantas rokok ku keluarkan dari dalam poket. Sebatang demi sebatang rokok ku hisap. Entah kenapa tiba-tiba aku terkenangkan Khai. Aku tersenyum sendirian. Perkenalan pertama kami bermain di mindaku. Senyum dan tawanya membuatkan aku tersengih sendirian. Gambaran titis air mata yang pernah keluar dari matanya kemudian tanpa sebarang petanda aku terkenangkan. Senyum sendiriku menjadi pudar. Entahlah.

Aku kemudian melihat ke jam tanganku, waktu sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Rupanya hampir sejam juga aku disini. Kelihatan air teh yang ku order sedari tadi tidak terusik langsung. Aku lantas menghirup beberapa teguk sebelum membayar dan berlalu pergi.

Tiada apa lagi yang harus aku lakukan, aku hanya mahu menyelesaikan urusan ku secepat mungkin. Sudah terlalu lama masa berlalu, sudah lebih dari sebulan semenjak aku tidak lagi mampu untuk menghilangkan keresahan ini. Hanya itu yang ku katakan kepada diriku. Sepanjang perjalanan aku cuba untuk tidak memikirkan apa-apa. Siulan perlahan ku lagukan mengikut lagu yang di mainkan di radio.

Setelah mendaftarkan diri di kaunter dan duduk di ruangan menunggu untuk 10 minit, kedengaran namaku dipanggil. Bilik kedua ku masuki, kelihatan seorang pakar perubatan wanita duduk di kerusi. Dr Tun Mazrima, Hematologist. Dia dengan mesra meminta aku untuk duduk dan bertanyakan akan keadaan diriku.

“I’m ok, I guess.” Balas ku pendek.

“Ok, awak tahu kenapa pihak kami menghantar surat untuk meminta awak hadir ke sini?” tanyanya lagi.

“Erm, tak.”

“Baiklah, ini sebenarnya hanya merupakan satu perkara routine. Boleh saya tahu sudah berapa kali awak menderma darah?”

“Cuma sekali, then saya dapat surat itu.”

“Baiklah. Seperti yang awak tahu, pihak kami menerima darah yang di dermakan dari orang ramai dalam kuantiti yang agak banyak. Darah-darah ini dapat membantu mereka yang memerlukan. Namun, walau bagaimanapun, adalah penting untuk kami memastikan sebarang darah yang di terima oleh mana-mana penerima adalah sehat, dan bebas dari sebarang kuman. Oleh itu, setiap darah yang diterima oleh pihak kami atau mana-mana hospital akan di saring terlebih dahulu sebelum di simpan dan di berikan kepada orang lain. Jadi, untuk mereka yang kami rasakan berisiko, kami akan panggil untuk routine follow-up itu sahaja. Setakat ini awak faham apa yang saya sudah perkatakan?”

“Ya, saya faham. Doktor, saya dapat rasakan yang ini bukan satu routine follow up, dan ada sesuatu yang bermain di fikiran saya. Cuma, saya tak pasti samada itu adalah sesuatu yang betul atau tidak. Saya harap doktor dapat berterus-terang dengan saya akan apa sebenarnya keadaan yang sedang saya alami ini.”

“Baiklah. Saya harap awak faham dan dapat terima apa yang akan saya perkatakan. Ujian yang kami lakukan terhadap bekalan darah yang awak derma dahulu, menunjukkan yang awak telah di jangkiti dengan virus HIV. Awak kini seorang HIV positif.”

No comments:

Post a Comment